1. Apakah usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menggalakkan
minat membaca dalam kalangan murid-murid sekolah?
Program galakan membaca yang
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah Program ‘Nadi Ilmu
Amalan Membaca atau Program NILAM yang telah mula dilaksanakan pada tahun 1999.
Pelaksanaan Program NILAM ini dimulakan hasil daripada keputusan Mesyuarat
Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran
Malaysia pada tahun 1998. Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu
bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah dan
rekod pembacaan murid-murid ini diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.
‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca
merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah
dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan
program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan
markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha
Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di
kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian
Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan
dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di
sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas
Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca
bertarikh 22 Mei 1998.
Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat
dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam
membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat
membaca yang berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai
program galakan membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada
program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian
Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program
galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.
Matlamat Program NILAM ialah supaya
terbina tabiat membaca dalam kalangan murid.
• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana
idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini
• Membaca dan merekod bahan
bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai
dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan
mukasurat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke
dalam buku rekod.
• Mengesahkan rekod dan
mengumpul data
Tugas guru adalah untuk mengesahkan
serta menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua
guru di sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan
diserahkan kepada penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM
untuk dianalisa dan direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan
diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk
dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian
Pelajaran Malaysia.
• Memberi Pengiktirafan dan
Ganjaran
Sekolah dan semua peringkat Kementerian
Pelajaran juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah
banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem
ganjaran dan pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai
hadiah, sijil pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah
dibaca dalam rekod kemajuan murid dan sijil berhenti.
Program NILAM mempunyai dua tahap.
Tahap pertama ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga
terbina satu tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu
pencambahan penggunaan bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai
RAKAN PEMBACA (RP).
TAHAP JAUHARI
Tahap Jauhari menggalakkan murid
menambah bilangan bacaan mereka dan ia dijalankan pada dua peringkat
persekolahan :
a. Sekolah Rendah
Murid pada peringkat ini wajib membaca
banyak buku sebaik sahaja mereka tahu membaca dan mula belajar (Pertengahan
Tahun dalam Tahun Satu). Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan
seperti berikut :
Jumlah Buku Pengiktirafan
90 – 179 Gangsa
180 – 269 Perak
270 – 359 Emas
360 ke atas NILAM
b. Sekolah Menengah
Murid pada peringkat ini wajib membaca
banyak buku apabila mereka mula belajar di Tingkatan Satu atau Peralihan.
Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut:
Jumlah Buku Pengiktirafan
72 – 143 Gangsa
144 – 215 Perak
216 – 287 Emas
288 ke atas NILAM
Tahap RAKAN PEMBACA (RP) mengutamakan
aspek kepimpinan dalam aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku
murid layak memasuki tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan
murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya suka membaca. Walau
bagaimanapun aktiviti Tahap JAUHARI masih diteruskan.
Pengiraan markah bagi aktiviti ini
diberikan mengikut jumlah aktiviti atau sesi aktiviti (dan bukan jumlah
bilangan pendengar, kecuali aktiviti meminjamkan buku) yang dijalankan mengikut
kesesuaian umur murid seperti :
- Bercerita (1 sesi = 5 markah)
- Bicara Buku (1 sesi = 5 markah)
- Ulasan Buku (1 sesi = 5 markah)
- Meminjamkan buku (1buku x 5 peminjam
= 5 markah)
• Murid pada tahap Rakan Pembaca ini
diberikan pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP :
Jumlah markah aktivit Pengiktirafan
100 – 199 Gangsa
200– 299 Perak
300 – 399 Emas
400 ke atas NILAM
Program NILAM mengalakkan murid membaca
di mana jua walaupun selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu
masa membaca di Pusat Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan
dalam jadual kelas terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
untuk menjalankan aktiviti membaca.
Waktu lain juga boleh diperuntukkan
untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya
aktiviti dalam Minggu Pusat Sumber Sekolah, Minggu Bahasa atau mata pelajaran
lain.
Murid juga boleh meluangkan masa
sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti
membaca seperti Bicara Buku dan menulis ulasan buku.
Melihat kepada statistik data yang
dikumpul setiap tahun berkaitan pelaksanaan program ini, kita dapati
penglibatan murid-murid kian meningkat dengan statistik pada akhir 2010
menunjukkan penglibatan pelajar sekolah rendah dalam Program NILAM Tahap Jauhari
ialah 90.66%% berbanding 89.92% pada tahun 2009. Manakala, bagi sekolah
menengah pula, jumlah pelajar yang menyertai program NILAM di Tahap Jauhari
ialah 87.11% berbanding dengan penglibatan 85.25% pada tahun 2009. Berdasarkan
data yang dikumpul pada tahun 2010, purata kadar pembacaan murid adalah 20 buah
buku setahun bagi sekolah rendah dan 10 buah buku setahun bagi sekolah
menengah.
Namun begitu, usaha kita tidak akan
berhenti setakat ini sahaja dalam membentuk budaya membaca dalam kalangan
murid-murid. Kita bertekad untuk mencapai sasaran kita iaitu penglibatan 100%
murid dalam Program NILAM bagi mencapai kadar literasi dan numerasi yang
disasarkan dalam NKRA pendidikan serta menyokong Teras1, Membina negara bangsa
melalui memperkasa bahasa kebangsaan dan seterusnya membudayakan amalan membaca
ini di luar lingkungan persekolahan.
Walaupun cita-cita kita untuk mencapai
penglibatan 100% murid masih belum tercapai namun usaha-usaha giat dijalankan
oleh rakan-rakan kita dalam rangkaian BTP di Bahagian Teknologi Pendidikan
Negeri, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian dan juga Pusat Kegiatan Guru. Kita
juga mendapat kerjasama yang baik daripada semua rakan-rakan bahagian KPM yang
lain serta Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dalam merangka
program-program galakan membaca. Sebagai contoh, kita juga melaksanakan
beberapa aktiviti sokongan bagi memantapkan lagi Program NILAM ini. Antaranya
ialah aktiviti Kem Membaca 1 Malaysia, Khemah Membaca, Kem Penulis Muda, Jejak
Maklumat, Pertandingan Bercerita, Resensi Buku dan juga pameran-pameran buku
yang juga mendapat sokongan dari Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM),
Perpustakaan Negara Malaysia, Institut Terjemahan Negara Malaysia serta Dewan
Bahasa dan Pustaka serta rakan perkongsian pintar agensi luar seperti
Scholastic Malaysia, Microsoft Sdn. Bhd, Sasbadi Sdn. Bhd., RHB dan juga dari
IPTA serta IPTS.
Selain daripada itu, Jemaah Nazir dan
Jaminan Kualiti juga mengambil kira elemen pelaksanaan Program NILAM sewaktu
pemantauan ke sekolah-sekolah. Secara tidak langsung ini menunjukkan penegasan
KPM mengenai peri pentingnya program ini dilaksanakan dan pihak pentadbir
sekolah perlu memberi kerjasama dan perhatian dalam merangka, mengurus,
melaksana dan memantau program-program galakan membaca yang dirancang oleh Guru
Perpustakaan & Media (GPM).
• Projek Pukal - Setiap kelas
dibekalkan 50-100 naskah buku dan pelajar dibenarkan meminjam buku setiap hari
sebanyak mana mampu.
• Bicara Buku - Murid digalakkan
membaca sebuah buku dan berhimpun untuk membincangkan secara kritis tentang
isu-isu dan persoalan yang timbul dalam buku tersebut.
• Anotasi buku - Murid digalakkan untuk
banyak membaca dan membuat ulasan tentang cerita yang dibaca di dalam buku
rekod. Ulasan ini boleh dibentangkan semasa perhimpunan dan murid boleh
mendapat markah Rakan Pembaca untuk aktiviti ini.
• Bercerita - Murid terutamanya murid
sekolah rendah digalakkan untuk bercerita tentang cerita dari buku-buku yang
pernah dibaca.
• Jejak Maklumat - Murid dikehendaki
mencari jawapan kepada soalan-soalan yang berkaitan buku atau isi sesebuah buku
yang terdapat di Pusat Sumber Sekolah atau sumber bacaan di kawasan yang
disediakan.
Ada dua perkara yang perlu dimaklumkan
bila kita bercakap mengenai trend membaca dalam kalangan murid-murid. Yang
pertama ialah jenis buku yang menjadi minat mereka. Dalam kajian yang dibuat
oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum didapati murid-murid lebih suka membaca
buku-buku yang berkisar mengenai sesuatu yang ”hampir’ dengan mereka, sesuai
dengan usia dan persekitaran mereka. Selain dari buku-buku bukan fiksyen yang
berbentuk ilmiah, murid-murid lebih terarah untuk membaca buku-buku yang
berkaitan dengan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, grafik yang
menarik dengan teks yang mudah difahami.
Oleh itu, pihak pentadbir sekolah yang
bertanggungjawab dalam urusan perolehan buku-buku perlulah mengambil kira
faktor-faktor ini dalam usaha membina koleksi di Pusat Sumber Sekolah. Di pihak
KPM, kita ada menyediakan Senarai Bahan Bacaan Pusat Sumber Sekolah bagi
menjadi panduan kepada sekolah-sekolah dalam pembelian bahan-bahan bacaan di
pusat sumber. Senarai ini merupakan senarai bahan bacaan yang dikemukakan oleh
penerbit dan pembekal buku dan telah melalui proses penilaian. Langkah ini
diambil bagi memastikan hanya bahan-bahan bacaan yang berkualiti saja yang
boleh dibekalkan ke sekolah.
Perkara kedua yang membentuk trend
membaca dalam kalangan murid-murid pula ialah bentuk buku yang dibaca. Trend
dan minat murid-murid sekarang lebih terarah kepada sesuatu yang bersifat
teknologi dan ICT. Kita melihat ini sebagai sesuatu yang positif dan Program
NILAM juga sememangnya sentiasa ditambahbaik seiring dengan kemajuan teknologi
sedia ada.
Dalam pelaksanaan Program NILAM kita
meminta murid membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku
Rekod NILAM. Buku-buku yang dimaksudkan ialah buku-buku berbentuk fizikal yang
dipinjam dari Pusat Sumber Sekolah, Perpustakaan Awam ataupun yang mereka beli
sendiri. Seiring dengan kepesatan teknologi, Program NILAM juga menggalakkan
mereka membaca buku-buku dalam bentuk digital yang boleh diperolehi dari Pusat
Sumber Digital, e-book dan juga CD/DVD. Malah mereka juga boleh memuat turun
bahan-bahan bacaan dari internet untuk mereka baca dan simpan sebagai koleksi
peribadi mereka. Sekarang ini sudah ada teknologi di mana buku-buku berbentuk
digital boleh ”membacakan” buku tersebut untuk kita dan boleh disimpan di dalam
pemain muzik MP3 dan juga iPod. Dengan kepesatan teknologi yang semakin
memudahkan kita di zaman ini, tidak ada alasan lagi sebenarnya untuk kita
mengatakan bahawa kita tidak ada masa untuk membaca.
Di peringkat sekolah, galakan yang
berbentuk hadiah dan sijil adalah sebahagian dari pengiktirafan dan ganjaran
yang diberi. Di kebanyakan sekolah, murid-murid yang melibatkan diri secara
aktif dalam Program NILAM akan diberikan ganjaran dan pengiktirafan mengikut
kemampuan pihak sekolah dan biasanya dijalankan sewaktu Hari Anugerah
Cemerlang. Pengiktirafan diberikan mengikut jumlah buku yang dibaca oleh
murid-murid.
Setiap negeri mempunyai satu program
Anugerah Tokoh NILAM Peringkat Negeri yang diurus setiakan oleh Bahagian
Teknologi Pendidikan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri
masing-masing serta mengikut prosedur penilaian yang diiktiraf di peringkat
SIRIM. Di peringkat ini, murid-murid yang melibatkan diri dengan aktif dalam
Program NILAM akan dinilai bukan sahaja dari segi bilangan buku yang dibaca
tetapi juga kemahiran mereka menjawab soalan-soalan penilaian yang dijalankan
oleh hakim-hakim yang dilantik. Pemenang di peringkat negeri akan dinobatkan
sebagai Tokoh NILAM Peringkat Negeri dan dicalonkan untuk Anugerah NILAM
Peringkat Kebangsaan.
Pemilihan Tokoh NILAM Kebangsaan
dilakukan bersempena dengan Anugerah NILAM Kebangsaan yang telah dilaksanakan
sejak tahun 2003 hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat
Membaca Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun yang sama. Calon-calon dari 4
kategori iaitu calon Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar, Sekolah
Menengah Luar Bandar dan Sekolah Menengah Bandar akan dinilai untuk memilih
pemenang mengikut kategori dan juga Tokoh NILAM Sekolah Rendah serta Tokoh
NILAM Sekolah Menengah di kalangan pemenang kategori tersebut.
No comments:
Post a Comment